Rabu, 21 Disember 2016 | 3:52pm

Tabung Kemanusiaan Aceh dilancarkan

JAMIL Khir melancarkan Tabung Kemanusiaan Aceh di Bangunan Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
JAMIL Khir melancarkan Tabung Kemanusiaan Aceh di Bangunan Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Penubuhan Tabung Kemanusiaan Aceh oleh beberapa agensi kerajaan bersama media menunjukkan keprihatinan kerajaan membantu mangsa gempa bumi di negara jiran itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pelancaran tabung itu secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi.

Katanya, orang ramai boleh membuat sumbangan menerusi cawangan terpilih seperti Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Tabung Haji.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan bantuan menerusi tabung yang disediakan di masjid bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI).

"Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam bernombor 14023010000082 atas nama Tabung Kebajikan dan Pelajaran YaPEIM," katanya selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Acheh, di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha dan Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin.

Kutipan akan dilakukan selama dua bulan bermula esok ini hingga 28 Februari depan.

Setakat ini, beberapa syarikat dan agensi menyalurkan bantuan sebanyak RM289,360 termasuk Tabung Haji, YaPEIM Gold, Koperasi YaPEIM Berhad, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Hospital Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta warga kerja YaPEIM.

Berita Harian X