Selasa, 20 Disember 2016 | 2:16pm

Fakta bercanggah isu jualan hartanah di Tapak Warisan Dunia

PENOLONG Setiausaha Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Loh Kit Mun mempersoalkan kenyataan bercanggah daripada pemimpin kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung fakta penjualan bangunan di tapak warisan, ketika sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang, Georgetown. - Foto Danial Saad

GEORGETOWN: Kerajaan negeri didakwa berbohong berhubung jumlah kediaman dalam zon Tapak Warisan Dunia Georgetown yang dijual kepada warga asing, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, bulan lalu. 

Penolong Setiausaha Pemuda GERAKAN negeri, Loh Kit Mun, berkata ia dibuktikan menerusi percanggahan jawapan berhubung perkara itu yang dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow. 

Sehubungan itu, katanya, Kon Yeow perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN Pulau Pinang untuk diadili sewajarnya, bersabit tindakannya itu. 

"Jumlah rumah di zon Warisan Dunia yang dijual kepada warga asing seperti dinyatakan Kon Yeow dalam jawapan bertulis kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria, bercanggah dengan penjelasan isu sama dibuat Ketua Menteri, Lim Guan Eng, pada sidang DUN, Mei lalu. 

"Malah, perbezaan itu sangat ketara apabila Kon Yeow menyatakan hanya 18 rumah sudah dijual, sedangkan Guan Eng pada Mei lalu menjelaskan 42 hartanah sudah dijual kepada warga dan syarikat asing," katanya pada sidang media di Pejabat GERAKAN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Berita Harian X