Rabu, 14 Disember 2016 | 12:40pm

15 remaja pelarian UNCHR terima diploma profesional

SULTANAH Kalsom menyampaikan skrol kepada graduan pada Majlis Konvokesyen LUCT 2016.
SULTANAH Kalsom menyampaikan skrol kepada graduan pada Majlis Konvokesyen LUCT 2016.

PUTRAJAYA: Seramai 15 remaja pelarian daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) menerima diploma profesional pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.

Mereka adalah sebahagian daripada 1,600 graduan dari 66 negara termasuk Pakistan dan Myanmar yang diraikan pada majlis konvokesyen kali ini, dan terpilih menerima biasiswa penuh untuk mengikuti pengajian dalam bidang pengurusan acara, rekaan interaktif serta laman web serta penggayaan rambut di LUCT.

Dua tahun lalu, LUCT menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UNCHR bagi memberi peluang pendidikan kepada remaja pelarian bertujuan membantu persediaan masa depan golongan itu.

Wakil UNCHR Malaysia, Richard Towle, berkata tujuan utama usaha itu ialah membantu remaja pelarian yang layak untuk mendapatkan kelulusan profesional bagi menceburi kerjaya pada masa depan.

Beliau berkata, pihaknya amat menghargai usaha LUCT membantu membangunkan potensi diri remaja pelarian itu yang penting untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Daripada lebih 150,000 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, 30,000 adalah kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun yang tidak menerima pendidikan formal.

Majlis konvokesyen bertema 'Pemimpin Dunia Pada Masa Depan' itu disempurnakan Canselor LUCT, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom yang berkenan mencemar duli menyampaikan skrol kepada graduan.

Berita Harian X