Ahad, 27 November 2016 | 5:29pm

Tembelang doktor palsu pecah selepas marah pesakit

HOSPITAL Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
HOSPITAL Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

KOTA BHARU: Pura-pura merawat pesakit, helah seorang lelaki menyamar sebagai doktor terbongkar apabila dikatakan secara tiba-tiba memarahi keluarga pesakit.

Suspek berusia 35 tahun itu dipercayai memasuki Wad Bendahara di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi dengan menyamar sebagai doktor.

Tindakan suspek memarahi seorang ahli keluarga yang menemani pesakit kerana berada di wad menyebabkan beliau mengadukan perkara itu kepada jururawat bertugas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, berkata suspek berasal dari Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu memperkenalkan dirinya sebagai doktor ketika menemui waris pesakit berkenaan.

"Sebaik jururawat menghampiri katil pesakit berkenaan, lelaki itu didapati bukan doktor dan tidak dikenali.

"Jururawat itu memanggil pengawal keselamatan dan pihak polis segera dihubungi," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.

Berita Harian X