Isnin, 21 November 2016 | 1:15pm

3 kementerian rangka Pelan Tindakan STEM Nasional

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. - Foto Fariz Iswadi Ismail
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Nasional 2017-2025 sedang dirangka bagi mengatasi masalah kekurangan pelajar menyertai aliran STEM.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata penyediaan pelan tindakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu akan memberi fokus kepada lapan bidang utama.

"Ia akan merangkumi dasar pengajaran dan pembelajaran, fasiliti, program kesedaran, kerjaya, kerjasama strategik, data dan penyelidikan, pengkomersilan serta inovasi," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang meminta punca menyebabkan nisbah pelajar dalam aliran STEM hanya berada pada tahap 20 peratus saja.

Kamalanathan berkata, pihaknya mengakui berlaku kemerosotan bilangan pelajar memasuki aliran STEM berbanding sebelum ini, namun bukan 20 peratus seperti didakwa Takiyuddin.

Katanya, jumlah sebenar ialah seramai 46.72 peratus atau 193,557 daripada 414,314 pelajar tingkatan lima pada 2014 adalah dari aliran STEM.

"Isu kemerosotan itu menjadi isu utama yang sering dibincangkan di peringkat kementerian dan juga global. Antara punca kemerosotan ini disumbangkan oleh pelajar yang layak memasuki aliran sains, tetapi mengambil keputusan mengikuti aliran sastera.

"Kementerian sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji punca dan cadangan penyelesaian kepada kemerosotan enrolmen pelajar yang mengikuti aliran sains dan teknologi di sekolah," katanya.

Kamalanathan berkata, laporan jawatankuasa khas itu menyatakan kemerosotan itu disebabkan oleh antaranya kurikulum yang padat dan sukar serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik.

Katanya, kekurangan infrastruktur, persepsi kurang baik terhadap aliran berkenaan serta prospek kerjaya yang kurang memberangsangkan juga menyumbang kepada kemerosotan terbabit.

Berita Harian X