Ahad, 20 November 2016 | 2:33pm

Syarat baharu kemasukan pelajar ke SBP - Mahdzir

DATUK Seri Mahdzir Khalid. - Foto Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Mahdzir Khalid. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, syarat kemasukan ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) hanya menilai 40 peratus tahap kecemerlangan akademik pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini bermakna kelayakan pelajar dinilai mencakupi komponen Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

"Saya mahu memaklumkan bahawa, mulai tahun depan pemilihan dan penempatan murid ke tingkatan satu SBP tak bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Sebaliknya, kecemerlangan akademik hanya mencakupi 40 peratus daripada syarat pengambilan" katanya pada sesi diskusi pendidikan sempena Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Khair Mohamad Yusof mengumumkan syarat kemasukan pelajar ke tingkatan satu SBP tahun depan mengikut syarat minimum pencapaian akademik sekurang-kurangnya 3A dan 3B dalam UPSR tahun ini.

Dalam pada itu, Mahdzir menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya calon UPSR tahun ini dijadikan bahan uji kaji oleh kementeriannya.

"Calon peperiksaan UPSR tahun ini adalah kohort pertama mengikuti Kurikulum Standard Sekolah (KSSR) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak diperkenalkan kepada murid Tahun 1 pada 2011," katanya.

Berita Harian X