Khamis, 17 November 2016 | 8:02am
Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi (kanan) mengusahakan kedai gunting Ripped Barber di Behrang. - Foto Zunnur Al Shafiq
Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi (kanan) mengusahakan kedai gunting Ripped Barber di Behrang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Syahmi bangga jadi tukang gunting rambut

Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi mengusahakan kedai gunting Ripped Barber di Behrang. - Foto Zunnur Al Shafiq
Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi mengusahakan kedai gunting Ripped Barber di Behrang. - Foto Zunnur Al Shafiq

BEHRANG: Mungkin bagi segelintir orang, tukang gunting bukanlah kerjaya yang glamour, tetapi bagi Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi, 21, pekerjaan itu membolehkannya menjadi bos kepada perniagaan sendiri pada usia muda.

Bagi pemilik Diploma Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) itu, sikap tidak suka makan gaji kerana tidak suka diarah-arah mendorongnya membuka perniagaan gunting rambut Ripped Barber di Bandar Behrang 2020, sejak Julai lalu.

Anak jati Tanjung Malim itu memberitahu, menyedari ketiadaan banyak pilihan kedai menggunting rambut di sekitar kawasan Bandar Behrang 2020 walaupun permintaan daripada masyarakat setempat adalah tinggi, dia nekad menjalankan perniagaan terbabit.  

"Biarpun agak gementar pada peringkat awal apabila memikirkan maklum balas pelanggan, saya mencuba. Lebih merisaukan apabila terfikir saya perlu berurusan dengan rambut yang dianggap 'mahkota lelaki'. Ternyata usaha saya membuahkan hasil apabila mereka menyambut baik dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

"Waktu perniagaan ditawarkan saya bermula jam 8 malam hingga 3 pagi memudahkan pelanggan memotong rambut kerana mereka mungkin sibuk dengan tugasan harian pada waktu siang," katanya ketika ditemui di Bandar Behrang 2020 di sini, baru-baru ini.

Cabaran perniagaan

Bercerita soal cabaran memulakan perniagaan itu, Muhammad Syahmi Ikhwan berkata, disebabkan tidak memiliki asas menggunting rambut, dia mendapatkan latihan selama dua bulan daripada seorang rakan yang sememangnya menjalankan jenis perkhidmatan sama.

Cukup yakin dengan teknik memotong rambut dipelajari itu, katanya, dia membeli peralatan, termasuk mesin berkualiti, khemah dan kerusi dengan modal bersama seorang rakan sebanyak RM3,500.

Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi (kanan) mengusahakan kedai gunting Ripped Barber di Behrang. - Foto Zunnur Al Shafiq
Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi (kanan) mengusahakan kedai gunting Ripped Barber di Behrang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Muhammad Syahmi Ikhwan berkata, selepas tiga bulan perniagaannya beroperasi, ia mendapat sambutan menggalakkan sehingga 20 pelanggan pada setiap malam, malah ada yang menghubunginya bagi membuat tempahan giliran memotong rambut.

"Saya akan mengambil masa antara 15 hingga 45 minit untuk memotong rambut pelanggan yang bergantung kepada gaya disukai. Semua gaya potongan sama ada memerlukan masa sekejap atau lama saya kenakan bayaran RM10 seorang pelanggan.

"Ketika berurusan dengan pelanggan, saya mengutamakan kualiti dan ketelitian, malah percaya sikap merendah diri akan membuatkan pelanggan lebih selesa serta setia dengan perkhidmatan ditawarkan," katanya yang mempromosikan bisnes itu melalui laman sosial, instagram dinamakan rippedbarber.

Ditanya kelebihan berniaga bagi generasi muda, Muhammad Syahmi Ikhwan berkata, bidang kerjaya itu memberi kepuasan dan kelebihan daripada aspek keuntungan pendapatan, waktu bekerja fleksibel dan mampu menguruskan sendiri masa depan bisnes.

"Bagi saya jika seseorang graduan memiliki peluang berniaga, lebih baik menceburi bidang ini. Keuntungan diperoleh lebih banyak berbanding makan gaji dan tidak perlu mengikut arahan orang, sebaliknya kita sendiri menjadi ketua.

"Dengan berniaga, akan dipupuk sikap bijak berdikari, gigih berusaha dan menggalakkan kewangan peribadi kerana kita sendiri yang menentukan hala tuju bisnes," katanya yang beroperasi enam hari seminggu kecuali Sabtu.

Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi mengusahakan kedai gunting Ripped Barber di Behrang. - Foto Zunnur Al Shafiq
Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi mengusahakan kedai gunting Ripped Barber di Behrang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Biodata:
Nama: Muhammad Syahmi Ikhwan Suhaimi
Tarikh lahir: 26 November 1995
Tempat lahir: Hospital Tanjung Malim, Perak
Keluarga: Bongsu daripada tiga adik-beradik
Hobi: Gimnasium dan bermain permainan video

 

Trivia:

* Pernah memiliki berat badan hanya 45 kilogram ketika berumur 19 tahun, berbanding kini 70 kilogram

* Tidak gemar diarah sesuka hati

* Anak yatim piatu

* Takutkan katak

* Suka berdikari supaya tidak susahkan keluarga

 

INFO
* RM3,500 modal awal bisnes
* 7 jam tempoh berniaga
* RM10 bayaran dikenakan kepada setiap pelanggan.

Berita Harian X