Selasa, 15 November 2016 | 3:19pm

NIOSH, UTM meterai MoU bagi kukuhkan penyelidikan OSH

BANGUNAN NIOSH di Sekyen 15, Bandar Baru Bangi. - Foto Azhar Ramli
BANGUNAN NIOSH di Sekyen 15, Bandar Baru Bangi. - Foto Azhar Ramli

JOHOR BAHRU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pembangunan penyelidikan.

MoU selama tiga tahun itu memberi fokus kepada lima perkara utama antara lain bagi merangka strategi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) yang praktikal dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan baharu.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Dr Lee Lam Thye, berkata lima fokus MoU itu ialah membabitkan pertukaran maklumat antara NIOSH dan UTM, pertukaran kakitangan, perkongsian kemudahan serta peralatan penyelidikan selain mempromosikan secara bersama penerbitan penyelidikan.

"Satu lagi fokus yang diberikan dalam MoU ini ialah berkaitan membangunkan produk OSH yang lebih efektif dengan perkongsian idea antara NIOSH dan UTM.

"Kita berpendapat kerjasama antara NIOSH dan UTM ini amat penting kerana ia juga memberi manfaat kepada majikan dan pekerja khususnya dalam mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja," katanya.

Lam Thye berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-4 anjuran NIOSH dengan kerjasama UTM dan menyaksikan MoU berkenaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor di sini, hari ini.

Persidangan dua hari itu membabitkan penyertaan kira-kira 200 peserta dan pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara.

Lam Thye berkata, persidangan itu dilihat sebagai platform penting dalam perkongsian hasil penyelidikan bagi memperkukuhkan bidang OSH di negara ini.

Berita Harian X