Ahad, 13 November 2016 | 3:07pm
Ustaz Kazim kurangkan aktiviti ceramah

Ustaz Kazim kurangkan aktiviti ceramah tahun depan

IPOH: Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali Ustaz Kazim akan mengurangkan aktiviti ceramahnya tahun hadapan selepas dinasihatkan doktor berbuat demikian.

Mohd Kazim yang baru keluar hospital pada Khamis sejak dirawat minggu lalu, berkata lima doktor yang merawatnya menasihatkan beliau mengurangkan aktiviti ceramah dan lebih banyak berehat.

"Saya sudah 10 tahun berkhidmat dan membangunkan Al-Baraqah (Pusat Pendidikan Al-Barakah) dan dalam tempoh itu saya banyak berfikir, sebab itu saya 'over stress' (terlebih tekanan).

"Doktor mencadangkan tahun hadapan saya kena berjalan dan melancong melihat keindahan alam supaya dapat mengurangkan tekanan bekerja," katanya pada sidang media selepas menghadiri kursus Perjalanan Umrah Bersama Ustaz Kazim di Pusat Pendidikan Al Barakah di sini, hari ini.

Datuk Mohd Kazim Elias mengadakan sidang media di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi. - Foto Muhaizan Yahya
Datuk Mohd Kazim Elias mengadakan sidang media di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi. - Foto Muhaizan Yahya

Beliau berkata, sejak dimasukkan ke hospital minggu lalu, berat badannya turun mendadak kerana sering muntah setiap kali menjamah makanan.

Katanya, selepas menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan, doktor memaklumkan beliau mengalami pendarahan usus.

"Sejak Isnin dan Selasa minggu lalu, saya sudah rasa sakit di bahagian dada, sehinggalah pada hari Sabtu, saya mula mengalami muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit sebelum dimasukkan ke hospital pada jam 7.30 pagi hari itu.

"Sepanjang di hospital, saya hanya dibenarkan makan makanan lembut seperti sup, bubur dan buah-buahan namun semua yang dimakan keluar balik (muntah).

"Akibatnya, daripada berat badan saya yang sebelum ini 67 kilogram (kg), semalam saya timbang ketika berada di Sarawak (dapat jemputan beri ceramah), sudah susut ke 64.5 kg," katanya.

Bagaimanapun, beliau masih perlu menghadiri semua jemputan yang ada pada tahun ini berikutan sebarang aktiviti membabitkan dirinya sudah dirancang lama sebelum memutuskan untuk memperlahankan kegiatan ceramahnya.

Berita Harian X