Ahad, 30 Oktober 2016 | 7:58pm

Kayuhan Solo Jelajah 1Malaysia catat sejarah

SAHID (tengah) berjaya memecah rekod kayuhan terpanjang iaitu sejauh 3974.7km. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SAHID (tengah) berjaya memecah rekod kayuhan terpanjang iaitu sejauh 3974.7km. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Kayuhan Solo Jelajah 1Malaysia ternyata memberi pengalaman terindah buat Pegawai Operasi Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Sahid Selamat, apabila usahanya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

Sahid, 52, yang berjaya memecah rekod kayuhan terpanjang iaitu sejauh 3974.7 kilometer (km) diraikan oleh Pengarah Kastam Johor, Jaafar Mat Jawi dan kakitangan JKDM selepas menamatkan destinasi terakhir di Menara Kastam Johor, dekat sini, hari ini.

Beliau yang berasal dari Batu Pahat, mengakui pengalaman berbasikal selama 43 hari bermula 19 September lalu memberi cabaran fizikal dan mental, selain pada masa sama mampu memberi motivasi ke arah membentuk masyarakat yang cergas, sihat fizikal serta cerdas minda.

"Minat berbasikal sejak berusia 14 tahun, mendorong saya untuk menjelajah ke serata tempat dengan hanya menggunakan basikal, sekali gus ingin membuktikan tahap kesabaran seseorang apabila diuji pelbagai cabaran.

"Basikal jenis fat bike seberat 17 kilogram (kg) ini, saya manfaat sepenuhnya bagi mengecapi impian saya termasuk tidak putus asa walaupun terpaksa berdepan kerosakan roda basikal pada hari pertama kayuhan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sahid yang pernah menjelajah berbasikal di semenanjung sebanyak lima kali, berkata antara cabaran yang tidak dilupakan apabila terpaksa menempuh hujan, laluan berliku dan berbukit, selain menempuh laluan yang sukar terutama di kawasan Sarawak.

"Oleh kerana faktor negeri itu yang bergunung-ganang dan banyak hutan, saya perlu mengayuh basikal pada waktu siang berbanding di Semenanjung. Paling jauh dapat saya kayuh dari Sekinchan, Sabak Bernam di Selangor ke Taiping sehingga 132 km sehari," katanya selepas menerima penyampaian sijil MBOR oleh Wartawan Penyelidikan Kanan MBOR, Nurasyikin Ramli.

Sahid yang pernah menjelajah Bali, Indonesia bertekad untuk meneruskan siri jelajah ke Acheh, Indonesia pada tahun depan.

Berita Harian X