Ahad, 30 Oktober 2016 | 12:14pm

400 pengembara sertai Adventure Touring Malaysia

BAHARUDDIN (tengah, belakang) diiringi Mustaazis (depan, tujuh dari kiri) bersama peserta yang menyertai program Adventure Touring Malaysia yang diadakan di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, Pasir Gudang, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
BAHARUDDIN (tengah, belakang) diiringi Mustaazis (depan, tujuh dari kiri) bersama peserta yang menyertai program Adventure Touring Malaysia yang diadakan di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, Pasir Gudang, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

PASIR GUDANG: Seramai 400 peserta dari seluruh negara menyertai program Adventure Touring Malaysia (ATM) di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, dekat sini.

Program dua hari bermula semalam itu, dianjurkan oleh ATM dengan kerjasama Jabatan Pertanian Johor dalam usaha menggabungkan semua bentuk pengembaraan di bawah satu bumbung, sekali gus merapatkan silaturahim.

Penyelaras program, Mustaazis Said, berkata program yang julung kali diadakan itu membabitkan gabungan penyertaan pengembara menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), backpacking, motosikal berkuasa tinggi, berbasikal dan pejalan kaki.

Katanya, setiap pengembara mempunyai perspektif sendiri dalam aktiviti pengembaraan, yang mana pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan mereka menerusi perkongsian pengalaman bagi mewujudkan keserasian walaupun daripada latar belakang berbeza.

"Walaupun pertama kali diadakan, sambutan diterima amat menggalakkan kerana ATM mendapat penyertaan dari Kelantan, Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

"Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti menunggang ketika matahari terbenam, konvoi 14 kilometer (km) ke Johor Lama, forum dan unggun api," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan.

Turut hadir, Pengurus Taman Pertanian Johor, Datuk Baharuddin Abd Basir.

Dalam pada itu, Mustaazis berkata, pembabitan peserta berusia antara 16 hingga lebih 65 tahun itu memberi pendedahan bagi menambah baik cara menjelajah serata dunia.

"Kita berkongsi pandangan mengenai permasalahan seperti cara melepasi sempadan negara luar, selain aspek perlu diberi perhatian jika mengembara secara solo termasuk dengan wang saku minimum," katanya.

ATM adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 2012 dengan keahlian lebih 10,000 orang merangkumi dari Indonesia, Malaysia, Thailand, Kemboja dan Singapura.

Berita Harian X