Isnin, 24 Oktober 2016 | 6:42pm

Pesta Buku Antarabangsa KL kembali ke PWTC tahun depan

PRESIDEN Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah pada Pesta Buku Antarabangsa di Malayssia Agro Exposition Parks Serdang (MAEPS) Selangor. - Foto Shiraz Ali
PRESIDEN Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah pada Pesta Buku Antarabangsa di Malayssia Agro Exposition Parks Serdang (MAEPS) Selangor. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-36 akan kembali diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pada tahun depan.

Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC) yang juga Pengerusi Bersama PBAKL, Ishak Hamzah, berkata pesta buku yang akan berlangsung bermula 28 April hingga 7 Mei itu, dijangka lebih besar dengan menggunakan seluruh dewan utama, termasuk Dewan Tun Razak 2.

"Perpindahan ini selain disebabkan permintaan daripada pempamer supaya PBAKL dikembalikan ke PWTC, ia juga menampung dua kandungan baharu PBAKL.

"Dua kandungan baharu itu ialah Baca World 2017, iaitu pameran kandungan digital dan Asean E-Book Conference (AEC)," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Beberapa isu ditimbulkan berhubung PBAKL Ke-35, tahun ini, yang dijalankan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), antaranya mengenai pengangkutan awam, kekurangan pengunjung segmen tertentu dan kesan langsung yang diterima penerbit.

Terdahulu, Ishak dalam ruangan Bual Sastera, BH, 16 Mei lalu, berkata, pemilihan MAEPS dibuat berikutan pertindihan tarikh PBAKL 2016 dengan acara lain, selain pertimbangan seperti kapasiti, harga, ketersampaian dan ruang perkembangan masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, Ishak, yang juga Pengerusi Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) berkata, pameran buku berskala besar akan tetap dianjurkan di MAEPS pada tarikh berbeza kerana lokasi itu turut menarik pengunjung sehingga mewujudkan permintaan pembaca.

Ini kerana PBAKL Ke-35 di MAEPS mencatat kehadiran hampir 2.2 juta pengunjung, selain mudah dicapai dari selatan, utara dan Pantai Timur tanpa memasuki ibu kota.

Berita Harian X