Khamis, 20 Oktober 2016 | 12:41pm

IKIAM perkenal logo sendiri tambah yakin umat Islam

ZAHIDI Zainul Abidin. - Foto Rosela Ismail
ZAHIDI Zainul Abidin. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) akan mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK) dalam pengeluaran logo 'Produk Halal Muslim' bagi semua produk keluaran usahawan Muslim, awal tahun depan.

Pada masa sama, IKIAM juga akan mendapat pengesahan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap produk yang dikeluarkan usahawan kecil terutama luar bandar bagi meningkatkan keyakinan orang ramai.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata kira-kira 30 peratus syarikat yang mendapat halal JAKIM di negara ini adalah orang Islam, selebihnya bukan Islam.

Katanya, walaupun banyak industri atau badan berkanun mengeluarkan bantuan modal kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun kebanyakan mereka tidak mendapat halal JAKIM berikutan syarat ketat yang dikenakan dari segi modal dan kilang.

"Jadi, kalau tidak dapat halal JAKIM, apa logo kita yang kita boleh letak seperti 'Produk Halal Muslim' bagi memastikan tiada kekeliruan dikalangan umat Islam terhadap produk PKS. Logo berkenaan perlu kebenaran KPDNKK selain kerjasama JAKIM untuk mengesahkan produk terbabit.

"Jika cadangan ini tidak lulus, bagaimana kita mahu memperkenalkan bahawa produk daripada usahawan Islam adalah produk Islam yang tidak mendapat logo halal JAKIM.

"Kami tidak membelakangi JAKIM mengenai sijil halal dan logo mereka, tapi kami hanya ingin menambah logo supaya orang ramai lebih yakin dengan produk keluaran Muslim.

"Tidak dinafikan, sijil halal memang kena dapatkan daripada JAKIM, tapi nama 'Produk Halal Muslim' perlu dapatkan kebenaran KPDNKK," katanya dalam sidang media pada Forum Halal Muslim, di sini hari ini.

Pada forum mengenai cara manfaat industri halal kepada umat Islam itu disertai Pengarah Pembangunan Industri Halal dan Perlancongan Islam IKIAM, Prof Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al Saggaf; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Muhammad Hawari Hassan; serta wakil daripada Halal Development Corporation.

Berita Harian X