Sabtu, 15 Oktober 2016 | 12:52pm

Kestabilan ekonomi kunci perpaduan - TYT Melaka

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob ketika berucap sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2016 Sesi Pertama di Seri Negeri di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob ketika berucap sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2016 Sesi Pertama di Seri Negeri di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

AYER KEROH: Kerajaan negeri akan terus berusaha meningkatkan ekonomi Melaka walaupun berdepan dengan ketidaktentuan cabaran global.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, berkata ekonomi Melaka terus dipacu pertumbuhan positif hasil pengurusan strategi Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan kerajaan negeri yang berusaha mengekalkan kadar pengangguran rendah serta inflasi di paras terkawal.

Mohd Khalil berkata, kadar kemiskinan Melaka berada pada paras 0.1 peratus berbanding 0.6 peratus di peringkat nasional, manakala pendapatan isi rumah bulanan Melaka meningkat daripada RM4,759 pada tahun 2012 kepada RM6,046 pada 2014.

"Ekonomi Malaysia yang kekal bertahan turut menyaksikan perkembangan positif buat Melaka.

"Ini dibuktikan apabila 15.7 juta pelancong mengunjungi Melaka tahun lalu, manakala seramai 16.5 juta pelancong disasar mengunjungi Melaka tahun ini.

"Kestabilan ekonomi ini adalah berkat perpaduan yang ditunjangi budaya, bangsa dan agama rakyat yang menjadi kunci keharmonian negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2016 Sesi Pertama di Seri Negeri di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Idris mengetuai 229 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan Hari Jadi ke-78 Yang Dipertua Negeri Melaka.

Beliau mendahului istiadat penganugerahan pada sesi pertama bagi Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin antara penerima anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Antara penerima anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei.

Bagi Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, antara penerimanya ialah Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Firuz Jaffril; Mufti Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dan Panglima Markas 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, turut merangkumi Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hasan; Penasihat Ketenteraan, Kementerian Pertahanan, Brig Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Pada sesi pertama penganugerahan itu, Mohd Khalil turut menyampaikan Darjah Seri Melaka (DSM), Bintang Cemerlang Melaka (BCM), Bintang Khidmat Terpuji (BKT) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Berita Harian X