Khamis, 13 Oktober 2016 | 1:51pm

1.3 juta penduduk Malaysia alami katarak

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

KOTA BHARU: Dianggarkan seramai 40,000 hingga 50,000 individu melakukan pembedahan katarak mata setiap tahun di 40 hospital pakar kendalian Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, berkata kajian 'National Eye Survey 11' oleh Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan menganggarkan 1.3 juta penduduk negara ini yang berusia 50 tahun ke atas mengalami masalah katarak dalam.

"Kajian itu juga menunjukkan 43,000 individu buta disebabkan masalah katarak yang diukur pada tahap penglihatan 6/60 ke bawah.

"Selain katarak, masalah buta adalah disebabkan penyakit kencing manis dan glaukoma," katanya dalam ucapan perasmian Hari Penglihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan di sini, sebentar tadi.

Sambutan bertemakan 'Universal Eye Health: Stronger Together" itu diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini.

Dr Hilmi berkata, bagi mengatasi bebanan kes katarak secara sistematik dengan melahirkan Zon Bebas Katarak di seluruh negara, kementeriannya melaksanakan Program Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M).

"Kita memiliki kira-kira 500 doktor pakar yang terbabit dalam pembedahan mata di 40 hospital.

"Selain di hospital, KK1M Mobil turut disediakan dengan dua bas membawa peralatan pembedahan katarak di KK1M Zon Pantai Tmur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu serta KK1M Zon Sarawak," katanya.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustapha.

Berita Harian X