Selasa, 4 Oktober 2016 | 8:37pm

Video Sejuta Cinta juara PROVIM

FARAHIS dinobatkan pemenang PROVIM 2016 menerusi video berjudul Sejuta Cinta. - Foto Sairien Nafis
FARAHIS dinobatkan pemenang PROVIM 2016 menerusi video berjudul Sejuta Cinta. - Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA: Video berjudul Sejuta Cinta membawa tuah kepada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Farahis Nur Azreen Mohd Ramli, 23, apabila dinobatkan pemenang Projek Video Malaysia (PROVIM 2016).

Program itu anjuran Unit Digital, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima Berhad (MPB) dengan kerjasama syarikat i-Berhad.

Kejayaan itu membolehkan pelajar tahun akhir Jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000.

Tempat kedua dirai trio Mohammad Salam Jumiran, Aiman Khalid dan Mohd Ibnu Zaid Ithnin menerusi video bertajuk Cintaku Malaysia. Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Video bertajuk 'Merdeka59- Love in Unity' karya Winston Lim Choon Yee dan Kelson Tan Khai Hsien pula menduduki tempat ketiga dan menerima RM3,000.

Hadiah disampaikan Pengarang Urusan Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa MPB, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah dan Pengerusi Eksekutif i-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa MPB, Datuk Manja Ismail dan Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa MPB, Ahmad Kamaluddin Zabaai.

Berita Harian X