Sabtu, 1 Oktober 2016 | 3:46pm

4 kanak-kanak terima sumbangan Pandu Puteri, PERMATA

YANG Dipertua PPPM merangkap penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra dengan adik Mohamad Solihin Kamarudin ketika membuat lawatan di Kota Malim Prima dan Taman Indah, Tanjung Malim, hari ini. - Foto Yazit Razali
YANG Dipertua PPPM merangkap penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra dengan adik Mohamad Solihin Kamarudin ketika membuat lawatan di Kota Malim Prima dan Taman Indah, Tanjung Malim, hari ini. - Foto Yazit Razali

TANJUNG MALIM: Empat kanak-kanak yang menghidap pelbagai masalah kesihatan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM14,000 daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) dan Yayasan Program PERMATA Negara (PERMATA).

Sumbangan berjumlah RM3,500 seorang itu bertujuan meringankan beban keluarga masing-masing yang terpaksa menanggung kos perubatan tinggi bagi merawat anak mereka.

Yang Dipertua PPPM merangkap penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, menyampaikan sumbangan itu kepada ahli keluarga kanak-kanak itu ketika melawat mereka di Kota Malim Prima dan Taman Indah, di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, Rosmah sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit di kedua-dua lokasi berkenaan sambil beramah mesra dengan ibu bapa kepada empat kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata, selain menyelami nasib kanak-kanak yang kurang bernasib baik, program itu juga diadakan sempena sambutan ulang tahun penubuhan PPPM yang mencecah usia 100 tahun.

"Ketika beramah mesra dengan ibu bapa kepada kanak-kanak itu, mereka mengadu mengenai kos perubatan yang tinggi kerana perlu membawa anak-anak mereka untuk pemeriksaan berkala.

"Saya berharap sumbangan yang kami sampaikan hari ini dapat membela kanak-kanak ini serta meringankan beban perbelanjaan untuk perubatan mereka," katanya ketika ditemui di sini.

Turut hadir, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahaini Raja Shahar Shah merangkap Timbalan Yang Dipertua PPPM dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Yang Dipertua PPPM Pahang.

Kanak-kanak yang menerima sumbangan itu ialah Muhammad Syafi Hadif Mohd Shahir, 3, yang menghidap mikrosefali dan palsi serebrum; Amalina Sofia Sudirmi, 10 bulan (jantung berlubang dan risiko jangkitan paru-paru); Muhammad Darrien Zafreen Zefri, 3, yang menghidap masalah buah pinggang kecil; dan Mohamad Solihin Kamarudin, 31 bulan (sindrom Down, masalah pertuturan dan penglihatan).

Berita Harian X