IPOH: Orang ramai digalakkan menjalani saringan tahap tekanan atau stress bagi mengenal pasti kemungkinan mereka menghidap sakit mental.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata ia sebagai antara usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai potensi dan bahaya penyakit mental.
"National Suicide Registry Malaysia' pada tahun lalu melaporkan sebanyak 29.2 peratus daripada rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, menunjukkan peningkatan berbanding 11.2 peratus pada 2006.
"Sementara, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa beban masalah kesihatan mental dijangka terus meningkat daripada 12 peratus pada tahun 2000 kepada 15 peratus menjelang tahun 2020.
"Satu daripada gangguan mental iaitu kemurungan dijangka menduduki tempat kedua daripada segi beban penyakit selepas penyakit jantung," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program 'World Suicide Prevention Day & World Mental Health Day' di sini hari ini.
Dr Juita berkata, gangguan mental juga menjadi antara faktor penyumbang bunuh diri dan menurut laporan WHO pada 2009, Perak pernah mencatat negeri ketiga tertinggi di Malaysia dengan 47 laporan kematian akibat bunuh diri.
Katanya, kes bunuh diri kebiasaan membabitkan individu dalam kategori usia 25 hingga 44 tahun dan mangsa paling muda dilaporkan adalah berusia 14 tahun dan paling tua berumur 94 tahun.