Ahad, 25 September 2016 | 5:02pm

Cabutan hadiah RM1.5j untuk penyimpan SSPN-i Plus

IDRIS (tiga dari kanan) diiringi Wan Ahmad (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang aktiviti kanak-kanak pada Majlis Jalinan Mesra PTPTN-Besut di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Besut. - Foto Rozainah Zakaria
IDRIS (tiga dari kanan) diiringi Wan Ahmad (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang aktiviti kanak-kanak pada Majlis Jalinan Mesra PTPTN-Besut di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Besut. - Foto Rozainah Zakaria

JERTIH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan cabutan hadiah keseluruhan bernilai RM1.5 juta untuk penyimpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata hadiah berkenaan ditawarkan bertujuan menggalakkan pelajar dan ibu bapa menabung untuk anak mereka dalam SSPN-i Plus, yang diperkenalkan PTPTN pada Jun tahun lalu.

Beliau berkata, sejak dilancarkan hingga kini, sebanyak 22,901 akaun SSPN-i Plus dibuka dan aktif dengan jumlah deposit simpanan RM6.9 juta serta jumlah perlindungan takaful hingga RM1.7 bilion.

SSPN-i Plus adalah satu skim atau pelan simpanan yang direka PTPTN untuk penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi yang sudah ditambahbaik dengan perlindungan takaful yang murah dan komprehensif, berbanding SSPN-i sedia ada.

"Katanya, cabutan bertuah SSPN-i Plus turut menawarkan hadiah kereta termasuk PROTON Perdana, TOYOTA Vios, HONDA Jazz dan wang tunai RM2,000 dengan cabutan bertuah siri pertama akan tamat pada 30 September ini.

"Ibu bapa yang menyertai program tabungan SSPN juga diberikan pelepasan taksiran cukai hingga RM12,000 setahun," katanya selepas Majlis Jalinan Mesra PTPTN di Sekolah Menengah Imtiaz Besut, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusof.

Pada majlis itu seramai 233 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Besut turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada PTPTN untuk pembukaan/ penambahan akaun SSPN-i/ SSPN-i Plus berjumlah RM23,300.

Berita Harian X