Jumaat, 16 September 2016 | 5:43pm

Rakyat Malaysia di Tamil Nadu diminta waspada

LORI yang dibakar di Bengaluru, dalam rusuhan membantah pertikaian penyaluran bekalan air Sungai Cauvery antara Tamil Naidu dan Karnataka. - Foto Reuters
LORI yang dibakar di Bengaluru, dalam rusuhan membantah pertikaian penyaluran bekalan air Sungai Cauvery antara Tamil Naidu dan Karnataka. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Tamil Nadu dinasihatkan supaya berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan berikutan mogok besar-besaran sehari di selatan negara itu, hari ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Ahmad Fajarazam Abdul Jalil meminta semua rakyat Malaysia supaya bertenang dan sentiasa berada di kawasan yang selamat seperti asrama pelajar dan kampus universiti serta hotel.

"Walaupun secara rasminya pejabat Konsulat bercuti hari ini sempena Hari Malaysia namun masih ada pegawai operasi yang bertugas termasuk saya bagi memantau keadaan sepanjang hari," katanya kepada Bernama.

Media antarabangsa hari ini melaporkan pelbagai persatuan petani dan organisasi perdagangan telah menggesa penutupan semua premis perniagaan bagi membantah pertikaian penyaluran bekalan air Sungai Cauvery antara Tamil Naidu dan Karnataka.

Rusuhan tercetus selepas Mahkamah Agung India pada 12 September lalu memerintahkan pelepasan air ke Tamil Nadu ketika Karnataka sedang menghadapi kekurangan air yang teruk dalam empangan dan sungai-sungai di wilayah itu.

Ahmad Fajarazam berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan maklumat boleh menghubung Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai menerusi talian +91 44 2433 4434 atau melalui telefon bimbit +919940337339 atau +919791114261. - BERNAMA

Berita Harian X