Jumaat, 16 September 2016 | 12:04am

Keliling dunia, Anita dijangka pulang pagi ini

ANITA bergambar kenangan sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia di hadapan Kedutaan Besar Bangkok, Thailand, kelmarin. - Foto Facebook Anita
ANITA bergambar kenangan sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia di hadapan Kedutaan Besar Bangkok, Thailand, kelmarin. - Foto Facebook Anita

ALOR SETAR: Tanggal 16 September bersamaan Hari Malaysia adalah tarikh terindah bagi pengembara solo bermotosikal, Anita Yusof apabila berjaya memenuhi impian menjadi wanita Islam Malaysia pertama mengelilingi dunia.

Hanya mengembara menggunakan motosikal jenis Yamaha FZ150i, Anita, 49, berjaya menunggang lebih 65,000 kilometer apabila merentasi empat benua dan 40 negara sejak meninggalkan tanah air pada 10 September tahun lalu.

Antaranya ialah Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica, Panama, Columbia, Equador, Peru, Bolivia, Chile, Argentina, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Portugal, Monaco, Itali, Croatia, Bosnia, Montenegro, Albania, Greece, Turki, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Russia, Mongolia dan Thailand.

Kejayaan kembara Global Dream Ride (GDR) itu akan dikongsi bersama rakyat Malaysia apabila satu majlis menyambut kepulangannya diadakan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam di sini, pagi ini.

Pensyarah Sains Sukan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu dijangka akan disambut dua anaknya, Emiershah Iskandar dan Rudy Iskandar sebelum mereka ke Ipoh, Perak, untuk berjumpa ibu Anita.

Anita yang dipetik dalam Facebook miliknya, beliau yang sudah berada di daerah Chumphon, Thailand melahirkan rasa gembira apabila semakin menghampiri sempadan Malaysia kira-kira 500 kilometer.

"Apapun, menunggang di Thailand memberi satu kelegaan kerana tidak perlu risaukan ketiadaan stesen minyak, tidak perlu tiadanya tandas, tidak perlu risau masuk kedai serbaneka dengan perlu mengusung segala harta karun (barang peribadi) dan masih perlu berhati-hati," katanya.

Berita Harian X