Sabtu, 3 September 2016 | 10:53am

Lebih 100 penyair, ahli akademik meriahkan Forum Penyair ASEAN

PANEL Forum Penyair ASEAN di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dari kiri, Dr Saeda, Muhammad Lutfi, Saifullizan, Ahmadun Yosi dan Mohamad Rajap.
PANEL Forum Penyair ASEAN di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dari kiri, Dr Saeda, Muhammad Lutfi, Saifullizan, Ahmadun Yosi dan Mohamad Rajap.

KUALA LUMPUR: Lebih 100 penyair dan ahli akademik ASEAN menghadiri Forum Penyair ASEAN di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, pagi ini.

Forum itu bertemakan, Puisi: Untuk Diri dan Masyarakat, diadakan bersempena Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur (DiverseCITY 2016).

Pada ketika ini, sesi pertama forum kendalian Saifullizan Yahaya membabitkan pemakalah, Dr Saeda Buang dari Singapura; Muhammad Lutfi Ishak (Malaysia); Ahmadun Yosi Herfanda (Indonesia) dan Mohamad Rajap ( Brunei Darussalam).

Yang turut hadir, Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah; SN, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan SN, Datuk Dr Zurinah Hassan; Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011 Indonesia, D Zawawi Imron; Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) merangkap Pengurus Acara Pertemuan Penyair ASEAN, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Pada acara pagi ini juga, buku Puisi Wadah Suara Kemanusiaan yang memuatkan makalah dari Forum Penyair ASEAN 2015 dan 2016 akan dilancarkan oleh Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas.

Forum Penyair ASEAN ini sebahagian Pertemuan Penyair ASEAN yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasana DBP, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan PENA.

Segmen pertama program itu bermula malam tadi melalui Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP: Akrab Puisi ASEAN, manakala segmen ketiga, iaitu Deklamasi Puisi ASEAN membabitkan 27 pendeklamasi akan berlangsung di DBP pada jam 8.30 malam ini.

Antara yang akan mendeklamasikan puisi pada malam ini ialah Malim Ghozali PK, Dr Lim Swee Tin, Dr Fuad Bebit dan Dr Shamsudin Othman dari Malaysia; Sastry Baksry dan Sumbar Talenta (Indonesia); Sutathip Moralai (Thailand) dan Oum Suphany (Kemboja).

Berita Harian X