Rabu, 31 Ogos 2016 | 11:27am

Lebih 12,000 sertai perbarisan di Seremban

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan memberi takbir hormat kepada pembarisan kawat kehormat sempena hari kemerdekaan yang ke 59 turut sama hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Padang Majlis Perbandaran Seremban. - Foto Hazreen Mohamad
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan memberi takbir hormat kepada pembarisan kawat kehormat sempena hari kemerdekaan yang ke 59 turut sama hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Padang Majlis Perbandaran Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Sebanyak 109 kontinjen terdiri daripada 12,901 peserta, menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini hari ini.

Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pasukan beruniform, pelajar sekolah, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), veteran tentera, pasukan keselamatan dan syarikat swasta.

Acara bermula pada jam 9 pagi dengan Kawalan Kehormatan Utama memberi Hormat Diraja kepada Keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Perarakan kemudian dimulakan dengan pembawa bendera oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V.

Turut ditampilkan perarakan aset oleh kenderaan konvoi Jalur Gemilang Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan ATM.

Persembahan lain termasuk tarian perang oleh seramai 1,000 anggota pasukan keselamatan negeri iaitu 1 Briged, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, JPAM, Jabatan Penjara dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Turut mencemar duli ke majlis itu adalah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Berita Harian X