Isnin, 15 Ogos 2016 | 6:37pm

PROVIM 2016 semarakkan perpaduan kaum, patriotik

KUALA LUMPUR: Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan Projek Video Malaysia (PROVIM 2016), klip video pendek yang menggambarkan perpaduan kaum dan semangat patriotik di negara ini sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

PROVIM 2016 anjuran Unit Berita Digital, Bahagian Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen, Media Prima Bhd (MPB) bertujuan memupuk semangat kemerdekaan dan perpaduan kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah, berkata pertandingan itu bertujuan memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda.

"Semangat nasionalisme dan kasih sayang antara satu sama lain adalah kunci kejayaan Malaysia dan akan terus menjadi prasyarat untuk menghadapi cabaran masa depan.

"Golongan belia yang menghadapi cabaran ini dan mahu melakukannya mesti mempunyai semangat nasionalisme dan patriotisme yang tidak berbelah bahagi," katanya.

Pemenang PROVIM 2016 bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM8,000, diikuti RM5,000 (kedua), RM3,000 (ketiga), manakala lima hadiah sagu hati bernilai RM1,000 setiap satu turut menanti pemenang.

Mohd Ashraf berkata, sebagai pengamal media, menjadi tanggungjawab sosial korporat MPB untuk memupuk semangat patriotik dan perpaduan kaum sempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Mereka yang berminat boleh menghantar video pendek berdurasi tidak melebihi tiga minit dalam format MP4 menerusi emel ke provim.mpb@gmail.com, yang kemudiannya akan dimuat naik melalui Facebook Berita MPB seperti Buletin TV3, Berita TV9, NTV7 7edition and 8TV Mandarin News.

Penyertaan akan dinilai berdasarkan bilangan 'likes' di Facebook selain dinilai oleh juri profesional.

Setiap penyertaan mesti disertakan dengan nama penuh pengirim, nombor kad pengenalan, sinopsis video pendek, alamat e-mel, dan nombor telefon.

Penyertaan yang diterima selepas jam 12 tengah hari pada 31 Ogos akan dibatalkan.

Klip video pendek yang membawa mesej bermakna mengenai perpaduan dan cintakan negara, menyentuh hati dan jiwa rakyat Malaysia akan disenarai pendek.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Buletin TV3, Berita TV9, NTV7 7edition dan 8TV Mandarin News di #provim2016.

Berita Harian X