Khamis, 11 Ogos 2016 | 9:47am

7 bidang, aktiviti diutamakan semula tangani jerebu

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Keselamatan Awam Vietnam Bui Van Nam (tengah) sempena Mesyuarat Antarabangsa bagi Memerangi Keganasan: Pergerakan Rentas Sempadan oleh Pengganas, semalam. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Keselamatan Awam Vietnam Bui Van Nam (tengah) sempena Mesyuarat Antarabangsa bagi Memerangi Keganasan: Pergerakan Rentas Sempadan oleh Pengganas, semalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Anggota negara ASEAN digesa mengembalikan semula keutamaan terhadap tujuh bidang atau aktiviti dalam menangani masalah pencemaran jerebu rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan proaktif itu dilihat berkesan dalam mematuhi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Beliau berkata, bidang atau aktiviti berkenaan membabitkan kerjasama teknikal bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan menangani risiko terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar akibat kebakaran hutan dan pencemaran jerebu.

Katanya, keutamaan juga perlu diberikan kepada pelaksanaan aktiviti untuk mempromosikan amalan pengawalan kebakaran dan kebakaran sifar.

Bidang atau aktiviti lain ialah mengadakan latihan simulasi untuk meningkatkan kerjasama tindakan kecemasan, pembinaan kapasiti untuk penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan.

Mengadakan forum atau dialog secara tetap dengan komuniti penderma antarabangsa dan pihak berkepentingan bagi mempromosikan pelaksanaan perjanjian.

Aktiviti lain yang perlu dipertingkatkan ialah meneroka kerjasama dengan rakan kongsi peringkat antarabangsa untuk memastikan sokongan kewangan mampan terhadap Dana Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ASEAN serta penubuhan Pusat Koordinasi ASEAN (ACC) bagi memudahkan kerjasama dan koordinasi antara pihak berkepentingan.

"Berikutan kekurangan sumber, beberapa aktiviti berkenaan tidak lagi diaktifkan untuk sekian lama," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan ke-12 Pihak-Pihak bagi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP COP-12). AATHP COP-12 yang dihadiri wakil negara anggota ASEAN akan terus menyemak insiden jerebu dan kebakaran di rantau ini sepanjang setahun lalu, di samping membincangkan pelaksanaan AATHP.

Ia termasuk langkah untuk memantau, mencegah dan mengurangkan pencemaran jerebu rentas sempadan dan pelaksanaan Sistem Pengawasan Jerebu Rantau ASEAN dan bertukar maklumat dalam kalangan wakil negara anggota.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung ASEAN, Lee Luong Minh serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Berita Harian X