Rabu, 3 Ogos 2016 | 7:29pm

Belum dapat sijil pengamal perubatan tidak boleh bekerja

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Graduan perubatan dan pergigian yang belum mendapat sijil pengamal perubatan tetapi melakukan 'locum' atau bekerja di klinik selain hospital, berisiko tidak dipanggil menjalani latihan 'housemanship' di hospital awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata mereka tidak diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan kerajaan boleh mengambil tindakan mahkamah kerana jenayah menyamar sebagai doktor, sedangkan ijazah dimiliki bukan lesen sah untuk merawat pesakit.

"Contohnya, graduan menyuntik pesakit dan terjadi sesuatu kepada pesakit itu yang kemudian membuat laporan polis, kementerian akan siasat latar belakang doktor itu. Jika tidak daftar di bawah MMC dan tiada sijil pengamal perubatan, tindakan boleh diambil dan tidak dibenarkan 'housemanship' atau latihan di hospital awam.

"Bukan sahaja graduan bakal menghadapi masalah, doktor (majikan) yang mengambil mereka bekerja turut menghadapi nasib sama," katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata, kementerian tidak dapat menerima alasan mereka bekerja sambilan di hospital swasta kerana khuatir pengetahuan serta kemahiran perubatan akan hilang.

"Mereka boleh terus menimba ilmu dengan membaca buku dan mendapatkan segala keperluan atau maklumat secara dalam talian. Mereka juga boleh menghadiri kursus yang dianjurkan pelbagai pihak," katanya.

Katanya, tindakan kebanyakan graduan bidang berkenaan bekerja adalah kerana perlu menunggu tempoh panjang sebelum dipanggil menjalani latihan di hospital kerajaan.

"Diharap mereka bersabar kerana kementerian sudah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memendekkan tempoh menunggu sebelum mendapat penempatan 'housemanship'.

"Saya akui graduan perubatan, pergigian dan farmasi perlu menunggu lama sebelum dipanggil menjalani latihan. Saya menjangkakan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan selewat-lewatnya akhir bulan ini," katanya.

Berita Harian X