Sabtu, 23 Julai 2016 | 5:42pm

Ustaz Kazim tubuh akademi latih pendakwah

Penceramah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias . - Foto Mahzir Mat Isa
Penceramah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias . - Foto Mahzir Mat Isa

IPOH: Penceramah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias atau lebih dikenali Ustaz Kazim Elias, menubuhkan sebuah lagi pusat pengajian, Akademi Dai'e Al-Barakah bagi melahirkan penceramah berkualiti dan Kelas A.

Penubuhan akademi itu dilakukan selepas beliau memikirkan tahap kesihatannya yang tidak berapa baik, baru-baru ini, dan mahu mencari pelapis bagi menyambung usahanya membangunkan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Beliau berkata, bangunan baharu akademi itu akan dibina di Jalan Pemimpin berdekatan Bangunan Pusat Pendidikan Al-Barakah sedia ada yang menempatkan asrama pelajar, bilik kuliah dan pusat pentadbiran.

Bangunan itu dijangka siap tahun hadapan.

"Ini akademi khusus untuk melatih penceramah. Saya hendak melahirkan lebih ramai lagi 'Kazim' di dunia ini. Saya akan bersungguh-sungguh mendidik dan melatih mereka untuk menjadi pelapis saya pada masa hadapan.

"Saya hendak melatih pelajar bermula dari usia 15 tahun iaitu selepas Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mereka tidak menyambung pelajaran ke sekolah lain.

"Mereka boleh mendaftar untuk belajar di sini sehingga tamat pengajian dan berkemungkinan kita akan mengeluarkan diploma dan sebagainya dengan kerjasama gabungan institusi lain," katanya kepada pemberita pada program Sambutan Ulang Tahun Al-Barakah Ke-10 di pekarangan Pusat Pendidikan Al-Barakah di sini hari ini.

Mengambil konsep daripada penceramah terkenal, Zakir Naik yang memulakan pendidikan di tempat sendiri, Mohamad Kazim mahu membawa pelajar ke Akademi Dai'e Al-Barakah dan melatih mereka untuk mahir berbicara dalam pelbagai bahasa.

"Saya hendak letakkan diri saya kepada mereka. Justeru latihan dari semua aspek termasuk perihal pengurusan mayat dan korban, boleh menjadi ustaz selebriti di dalam televisyen yang boleh menyanyi dan membaca al-Quran berlagu.

"Pelajar akademi ini akan dimestikan menghafal sekurang-kurangnya 300 hadis dan 15 juzuk al-Quran serta fasih bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Ini bermakna apabila tamat pengajian dan keluar untuk bertemu masyarakat, mereka menjadi 'tok lebai' yang mahir semua perkara," katanya.

Berita Harian X