Khamis, 14 Julai 2016 | 4:21pm

Menang pangsapuri RM500,000 cabutan Wow SSPN-i Plus

PENGERUSI PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada Bee Hong pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan dan Pelancaran Cabutan Wow SSPN-i hari ini. - Foto BERNAMA
PENGERUSI PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada Bee Hong pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan dan Pelancaran Cabutan Wow SSPN-i hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kakitangan Media Prima, Oii Bee Hong, 51, mendapat durian runtuh memenangi sebuah pangsapuri bernilai RM500,000 dalam cabutan Wow SSPN-i Plus Tahunan 2015/2016 selepas membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Disember lalu.

Bee Hong yang masih terkejut dengan kemenangan itu, berkata beliau tidak pernah mengimpikan untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berkenaan kerana niat membuka akaun itu hanya menyimpan untuk masa depan pendidikan anaknya yang berusia 17 tahun.

"Saya membuka akaun SSPN-i semasa pihak PTPTN mengadakan pameran di pusat beli-belah dan tertarik dengan penjelasan daripada pegawainya terhadap skim berkenaan dengan banyak manfaat terdapat seperti insurans dan pelepasan cukai.

"Menabung ini sangat baik terutama untuk mendidik anak supaya mereka menyimpan secara berdisiplin demi masa depan pendidikan mereka. Saya menabung RM100 sebulan," katanya ketika di temui di Majlis Mesra PTPTN bersama Pelanggan dan Pelancaran Cabutan Wow! SSPN-i Plus, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pangsapuri yang terletak di Shah Alam itu berkemungkinan akan disewakan atau dijual dan menggunakan hasil itu untuk membiayai kos pendidikan anaknya yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Berita Harian X