Rabu, 6 Julai 2016 | 11:00am

Hargai pengorbanan pihak bolehkan Syawal dirai dengan aman

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah supaya umat Islam menghargai pengorbanan serta perkhidmatan yang disediakan pelbagai pihak sehingga membolehkan Aidilfitri yang disambut hari ini dirai dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah.

Baginda bertitah ketika ramai yang bercuti dan bergembira, terdapat segelintir pihak yang melaksanakan pelbagai tugas penting demi negara, termasuk anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera.

"Begitu juga mereka yang perlu mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari merangkumi anggota bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam, kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan serta petugas media.

"Beta serta Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim menzahirkan penghargaan dan semoga pengorbanan mereka diterima Allah sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika berada di Padang Mahsyar," titah baginda dalam perutusan khas bersempena Hari Raya Aidilfitri di sini.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah agar sambutan Aidilfitri dijadikan ruang untuk umat Islam menunjukkan sifat penerimaan, sifat terbuka, sifat toleransi serta sifat bersedia menjalin hubungan serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai agama, kaum dan budaya.

"Semangat silaturahim ini sebaiknya dijadikan contoh untuk membuktikan bahawa Islam adalah agama yang mengamalkan perdamaian, keharmonian, persahabatan dan hubungan baik," titah Sultan Perak.

Titah Sultan Nazrin ketika menyambut Aidilfitri, umat Islam diseru melakukan amalan terpuji yang dapat memperkukuh perpaduan ummah dengan bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi, menyambung dan mengeratkan silaturahim sesama keluarga, sahabat handai serta jiran tetangga.

"Umat Islam perlu merayakan Aidilfitri dalam semangat ketakwaan dan keimanan dengan mencerminkan sifat-sifat insaf dan tawaduk ke hadrat Allah yang telah mengurniakan rahmat dan nikmat kepada kita.

"Lafazkan kalimah kesyukuran ke hadrat Ilahi yang menganugerahkan kita usia dan keafiatan, membolehkan kita menunaikan ibadat puasa, bersolat tarawih, mendampingi al-Quran secara bertadarus serta melimpahkan kita dengan rezeki untuk membolehkan menganjurkan iftar serta melakukan zakat, fitrah dan sedekah," titah Sultan Nazrin. - BERNAMA

Berita Harian X