Isnin, 4 Julai 2016 | 10:22pm

Harga daging, cili dan ayam tinggi di pedalaman

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE) mendakwa barang kawalan seperti ayam, daging dan cili di kawasan pedalaman dijual dengan harga tinggi berbanding harga siling ditetapkan kerajaan.

Setiausahanya, Mohd Yusrizal Datuk Yusoff, berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga itu dari pengguna di kawasan terbabit sejak dua minggu lalu.

Katanya, antara aduan itu adalah pengguna daripada Sik, Baling, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Jerlun apabila harga daging yang ditetapkan harga siling RM30 dijual dengan harga RM32.

Selain itu, katanya harga ayam yang ditetapkan RM7.90 pula dijual dengan harga sehingga RM8.80 dan cili yang sepatutnya RM16, namun dijual sehingga RM22.

"Kenaikan harga itu disebabkan permintaan yang terlalu tinggi sedangkan penawarannya pula rendah...contoh harga daging dan cili, kedua barang ini terpaksa diimport dari negara jiran.

"Kebanyakkan peniaga mengakui terpaksa menaikkan harga barangan terbabit kerana bekalan diperoleh dari pemborong juga mahal seperti cili RM20 sekilogram, tidak mungkin mereka boleh menjualnya mengikut harga siling," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Yusrizal berkata, kenaikan harga itu tidak mewujudkan situasi menang-menang antara peruncit dan pengguna, justeru kerajaan perlu melakukan sesuatu dengan menambah kuantiti barang itu terutama pada musim perayaan.

Katanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terutamanya perlu menyediakan tapak kepada petani sama ada untuk padang ragut untuk penternakan lembu dan ladang bagi menanam cili.

"Langkah ini dijangka dapat mengurangkan import kerajaan sekali gus meningkatkan bekalan barang mentah terbabit," katanya.

Berita Harian X