Jumaat, 1 Julai 2016 | 9:00am

Risiko upah 30,000 pengawal keselamatan haram

KUALA LUMPUR: Syarikat kawalan keselamatan tidak mematuhi peraturan pihak berkuasa sehingga menyebabkan kira-kira 30,000 pengawal keselamatan warga asing bekerja secara haram di negara ini.

Tanpa saringan latar belakang dan kewarganegaraan, tindakan segelintir syarikat kawalan keselamatan mengaut keuntungan dengan membayar gaji yang murah kepada mereka mengundang risiko kepada keselamatan penduduk.

Kebajikan pengawal keselamatan haram diabaikan majikan sehingga mendorong mereka melakukan jenayah untuk kelangsungan hidup sering terpapar di dada-dada akhbar.

Situasi sebegini menimbulkan kerisauan dan ketakutan kepada penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan perumahan yang menggunakan khidmat syarikat kawalan keselamatan.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapa Ali mendakwa, sekurang-kurang 30,000 pengawal keselamatan haram yang bekerja secara bebas di negara ini sukar dipantau.

"Kami tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan mereka mempunyai rekod jenayah atau bekas banduan," katanya kepada Bernama.

Selain warga tempatan, katanya, kebanyakan pengawal keselamatan haram terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.

KIRA-KIRA 30,000 pengawal keselamatan warga asing bekerja secara haram di negara ini. - Foto hiasan
KIRA-KIRA 30,000 pengawal keselamatan warga asing bekerja secara haram di negara ini. - Foto hiasan

"Di Malaysia, selain warga tempatan, hanya warga Nepal dibenarkan bekerja dalam sektor ini," katanya.

Menurutnya, seramai 163,000 pengawal keselamatan tempatan berdaftar manakala 28,000 adalah warganegara Nepal.

Dianggarkan, ada 800 syarikat pengawal keselamatan yang sah di negara ini.

Mustapa berkata ada kalangan pengawal keselamatan haram diekploitasikan oleh majikan seperti tidak dibayar gaji, kelewatan pembayaran gaji, kemudahan penginapan yang jauh tidak selesa serta tiada kemudahan perubatan.

Beliau berkata pengawal keselamatan yang menjadi mangsa kezaliman majikan takut untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa atau PPKKM kerana tidak memiliki permit kerja atau berdaftar secara sah.

Mustapa percaya syarikat kawalan keselamatan rela berkompromi dalam isu keselamatan negara dengan tidak mengikut prosedur pengambilan pekerja, semata-mata mahu mengaut keuntungan berlebihan.

"Mereka ini mengurangkan kos operasi dengan membayar gaji lebih murah, menyewa rumah di kawasan setinggan, tidak perlu membayar levi, insurans atau menyediakan kemudahan perubatan," katanya.

Berikutan masalah kebanjiran pengawal keselamatan haram, beliau berkata mereka telah menubuhkan satu pasukan petugas bersama polis dan Jabatan Imigresen awal tahun ini bagi menangani masalah tersebut. - BERNAMA

Berita Harian X