Rabu, 29 Jun 2016 | 9:18pm

Malaysia bantu mangsa gempa Ecuador

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (tengah) menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Tan Sri Othman Hashim (kanan) menyampaikan sumbangan Kerajaan Malaysia kepada Charge d'Affaires Equador, Pablo Bonifaz Arboleda di Wisma Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (tengah) menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Tan Sri Othman Hashim (kanan) menyampaikan sumbangan Kerajaan Malaysia kepada Charge d'Affaires Equador, Pablo Bonifaz Arboleda di Wisma Putra hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini menyampaikan sumbangan RM402,130 kepada wakil kedutaan Ecuador untuk diserahkan kepada kerajaan serta mangsa gempa bumi di negara itu.

Sumbangan daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) itu diserahkan pada satu majlis dengan disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Sumbangan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Othman Hashim kepada Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Republik Ecuador di Malaysia, Pablo Bonifaz Arboleda.

Dalam ucapannya, Anifah berkata, Malaysia sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertekad untuk terus memainkan peranan dalam memberi maklum balas dan menyediakan bantuan kemanusiaan serta kerjasama dengan masyarakat antarabangsa.

"Kita berdepan dengan krisis membabitkan manusia seperti anda dan saya.

"Walaupun cabaran besar, kompleks dan pelbagai rupa, dunia perlu memenuhi keperluan dan menangani keadaan yang semakin merosot ini," katanya.

Pada masa sama, kata beliau, selaras dengan objektif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia bekerjasama dengan negara anggota dalam usaha membantu negara lain seperti Palestin dan rakyatnya.

"Malaysia giat dalam usaha menzahirkan aspirasi dan hak kaum minoriti muslim serta masyarakat untuk keamanan, keselamatan dan pembangunan.

"Bukan itu sahaja, Malaysia juga berperanan sebagai fasilitator dalam proses damai di Selatan Filipina dan Selatan Thailand serta diakui dan dihargai oleh OIC," katanya.

Tambah Anifah, sejak 1 Januari tahun lalu, Malaysia selaku anggota Majlis Keselamatan, terbabit dalam usaha mencari penyelesaian berkekalan, mapan dan inklusif kepada konflik di seluruh dunia.

"Malaysia yang juga anggota Majlis Keselamatan mengamalkan konsep kesederhanaan dalam menyelesaikan pertikaian secara aman.

"Justeru, Malaysia akan terus menyokong usaha PBB dalam pengantaraan dan bekerjasama dengan semua negara anggota PBB dalam mencari keamanan berkekalan dan kestabilan di Syria, Yaman dan lain-lain kawasan konflik di Afrika," katanya.

Berita Harian X