Sabtu, 18 Jun 2016 | 1:04am

Kementerian Kesihatan cadang air mineral dikecualikan GST

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan akan mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya mengecualikan air mineral daripada dikenakan cukai.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ketika ini, air mineral dikenakan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus dan langkah untuk mengecualikannya bertujuan menggalakkan orang ramai supaya berhenti daripada minum minuman bergula.

"Kami hendak menggalakkan orang ramai supaya berhenti daripada minum minuman bergula dan cadangan agar cukai dikenakan terhadap minuman bergula pula bukan bertujuan menghukum, tetapi untuk memberi peringatan bahawa minuman manis tidak baik untuk kesihatan," katanya di sini, pada Jumaat.

Semalam, Dr Hilmi memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa kementerian itu bercadang mengemukakan syor agar cukai dikenakan terhadap minuman bergula sebagai usaha mencegah peningkatan jumlah penghidap penyakit kencing manis dan obesiti di negara ini seperti yang dilaksanakan di Britain.

Beliau berkata, Malaysia kini menduduki tangga teratas dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ketujuh di Asia dari segi jumlah penduduk yang mengalami obesiti dan mempunyai 3.5 juta pesakit kencing manis.

Menurut kaji selidik kementerian itu, jumlah pesakit kencing manis di Malaysia meningkat daripada 15.2 peratus pada 2011 kepada 17.7 peratus pada 2015.

"Jumlahnya meningkat hari demi hari dan sungguh membimbangkan kerana penyakit kencing manis dan obesiti boleh menimbulkan isu kesihatan lain yang serius seperti masalah jantung dan buah pinggang," kata Dr Hilmi.

Beliau berkata, oleh kerana pendekatan secara lembut seperti ceramah dan kempen, tidak memberi kesan terhadap orang ramai, maka kementerian itu berpendapat tindakan bersifat pencegahan perlu diambil bagi mengelak jumlah pesakit daripada terus meningkat.

"Ini adalah suatu mekanisme baharu dan cadangan ini adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Pemakanan III bagi tempoh 2016 hingga 2025," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X