Rabu, 25 Mei 2016 | 6:36pm
KEBANYAKAN sungai yang mengalami pencemaran terletak di kawasan bandar. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KEBANYAKAN sungai yang mengalami pencemaran terletak di kawasan bandar. - Foto Mohd Azren Jamaludin

43 sungai tercemar, sebahagian besar di bandar - Menteri

PUTRAJAYA: Empat puluh tiga atau sembilan peratus daripada sungai di negara ini mengalami pencemaran, dengan sebahagian besar daripadanya berada di kawasan bandar, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, daripada 473 sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar, 186 atau 39 peratus didapati mengalamai sedikit pencemaran, manakala 244 atau 52 peratus lagi berada dalam keadaan bersih.

"Kebanyakan sungai yang mengalami pencemaran terletak di kawasan bandar, dengan sebahagian besar bahan yang mencemarkannya berasal daripada pelbagai sumber, termasuk air dari loji kumbahan, premis industri dan komersial serta akibat jumlah aliran yang kecil berikutan kawasan berturap yang begitu luas," katanya dalam ucaptama pada Seminar Mengenai Keselamatan Sumber Air Dalam Konteks Matlamat Pembangunan Mapan (SDGD) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Datuk Hamim Samuri.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata beliau bimbang tentang endapan terampai daripada aktiviti pembangunan tanah apabila kawasan tanah yang luas dibersihkan untuk ditanam semula atau melaksanakan perusahaan tanaman komersial baharu.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes, langkah kawalan hakisan tidak banyak diberi perhatian dan sebahagian besar enapan akan dihanyutkan ke dalam laluan air ketika hujan.

"Saya menerima laporan bahawa paras kekeruhan sebatang sungai utama di Malaysia malah mencapai 6,000 Unit Kekeruhan Nefelometrik (NTU)," katanya sambil menjelaskan bahawa lazimnya, bacaan 1,000 NTU akan menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup.

Wan Junaidi berkata Akta Sumber Air yang dicadangkan dijangka memantapkan lagi pengurusan sumber air di negara ini.

"Kementerian saya sedar bahawa komitmen dan kerjasama padu daripada semua pemegang kepentingan adalah diperlukan, terutama kerajaan negeri, dan atas alasan itu, kami telah pergi ke semua negeri untuk memberi penjelasan tentang pentingnya sikap bekerjasama dan menerima rang undang-undang dicadangkan itu," katanya.

Wan Junaidi berkata, kementerian beliau juga komited untuk menyokong dan melaksanakan Agenda Pembangunan Mapan (SDG) 2030, terutama dalam aspek keselamatan sumber air bagi negara ini. - BERNAMA

Berita Harian X