KUALA KANGSAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menziarahi pusara bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, di sini sebentar tadi.
Timbalan Perdana Menteri yang diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menyertai majlis tahlil di Makam Al-Ghufran bersebelahan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan itu.
Selesai tahlil, Ahmad Zahid menyiram air ke pusara Wan Khairi-il dan turut bertemu balu Allahyarham, Datin Mastura Yazid dan empat anak pasangan itu.
Wan Khair-il yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), adalah antara enam yang terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Ahmad Zahid kemudian mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Kuala Kangsar di Kuala Kangsar Safari Resort.
Terdahulu, beliau menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Ubudiah.