Selasa, 17 Mei 2016 | 12:35pm

MQA agensi pertama dinilai bawah ISO 37001

KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjadi agensi pertama dinilai dan dipantau bawah Sistem Pengurusan Anti Rasuah - ISO 37001.

Sijil pengiktirafan ISO 37001 adalah ukuran kawalan sistem pencegahan rasuah bagi membantu organisasi melaksanakan sistem pengurusan efektif mencegah, mengesan dan menangani rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali, berkata penilaian sijil pengiktirafan ISO 37001 membabitkan beberapa negara seluruh dunia sedang menjalani kajian peringkat akhir di Mexico, sebelum diputuskan hujung bulan ini.

Katanya, sistem piawaian dan sijil pengiktirafan ISO 37001 berkenaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya di Malaysia bermula September ini.

"Syarat penilaian sijil pengiktirafan ISO 37001 antaranya, menerima pakai dasar dan polisi anti rasuah; melantik seseorang mengawasi pematuhan anti rasuah, latihan dan risiko terhadap projek serta rakan niaga.

"Selain itu, melaksanakan kawalan kewangan dan komersial, memulakan prosedur laporan serta menjalankan penyiasatan," katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) MQA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengerusi MQA, Prof Emeritus Datuk Seri Panglima Dr Abu Hassan Othman.

Berita Harian X