KUALA KANGSAR: Jenazah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Chandan Masjid Ubudiah di sini, kira-kira jam 9.15 pagi ini.
Sebelum itu, jenazah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tiba di Masjid Ubudiah di sini kira-kira jam 8.05 pagi dan disolatkan kira-kira 1,000 jemaah.
Cuaca mendung sepanjang pagi ini ketika upacara pengebumian dilakukan menambah kepiluan ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham.
Kira-kira 2,000 penduduk pelbagai kaum tidak mahu ketinggalan memberikan penghormatan terakhir kepada Ahli Parlimen itu.
Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah turut mencemar duli ke majlis pengebumian wakil rakyat itu.
Yang hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; EXCO kerajaan negeri serta pemimpin politik.
Turut kelihatan ibu Allahyarham, Rahmah Abdullah,76; isteri, Datin Mastura Yazid, 55, serta empat anak mereka Wan Emir Astar, 26; Wan Imar Izzat, 25; Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19.