PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mempertimbangkan kemungkinan untuk menggubal undang-undang bagi membolehkan kerajaan mengambil alih tanah yang dibiarkan terbakar tanpa dikawal oleh pemiliknya.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dan pihaknya akan mendengar pandangan Pejabat Peguam Negara sama ada undang-undang berkenaan dilaksanakan di negara lain serta boleh dikuatkuasakan di Malaysia.
Wan Junaidi berkata, langkah drastik itu bertujuan memastikan pemilik tanah persendirian atau ladang lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan pembakaran terbuka sewenang-wenangnya hingga menjejaskan alam sekitar.
"Kalau ada tanah individu terbakar tapi dia kata bukan dia yang bakar, (kerajaan) ambil alih tanah dia. Jika tidak boleh kendali tanah, jangan ada tanah.
"Saya akan berbincang dengan pegawai undang-undang kementerian dan lihat sama ada Pejabat Peguam Negara bersetuju dengan langkah ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.