Rabu, 27 April 2016 | 1:28pm

Muzium TLDM bertaraf dunia di Lumut

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin mengadakan sidang media sempena Sambutan Hari TLDM ke-82, di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Aizuddin Saad
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin mengadakan sidang media sempena Sambutan Hari TLDM ke-82, di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Aizuddin Saad

LUMUT: Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertaraf dunia dirancang dibina di pesisiran pantai di sini.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata perancangan pembinaan muzium itu mendapat persetujuan dan sokongan kerajaan negeri.

Katanya, pembinaan muzium itu bersesuaian dengan kedudukan Lumut sebagai bandar Tentera Laut dan Maritim, selain menjadi ikon kepada Perak.

"Ia masih dalam perbincangan dan muzium berkenaan akan dibina di luar Pangkalan TLDM serta berhampiran pekan Lumut.

"Ia akan dibangunkan di kawasan berkeluasan kira-kira 2.4 hektar atas tanah yang ditambak dan dibina di luar pangkalan bagi memudahkan dikunjungi orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Istiadat Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-82 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, di sini, pagi tadi.

Katanya, muzium berkenaan mempunyai konsep berbeza berbanding muzium lain dan mengetengahkan konsep sentuh, rasa dan alami.

"Ia bukan hanya mempamerkan artifak sejarah tetapi juga menunjukkan peranan TLDM dalam persada pertahanan dan pembangunan negara," katanya.

Berita Harian X