Ahad, 24 April 2016 | 7:38pm

Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau meninggal dunia

BEKAS Ahli Parlimen Balik Pulau, Allahyarham Mohamad Subky. - Foto ihsan pembaca BH
BEKAS Ahli Parlimen Balik Pulau, Allahyarham Mohamad Subky. - Foto ihsan pembaca BH

GEORGETOWN: Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Mohamad Subky Abdul Raof, meninggal dunia di rumahnya di sini, tengah malam tadi. 

Allahyarham Mohamad Subky, 79, yang sebelum ini dilapor menghidap penyakit kanser, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.34 tengah malam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata Mohamad Subky pernah mendapatkan rawatan bagi penyakit kansernya sebelum ini dan keadaannya dilaporkan sudah stabil.

"Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada penduduk Balik Pulau kerana Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan kawasan ini sekitar tahun 80-an.

"Walaupun hanya sepenggal berkhidmat, jasa dan sumbangannya tetap dikenang masyarakat di sini," katanya ketika dihubungi BH.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 1986

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas pada jam 3 petang tadi.

Turut menziarahi jenazahnya ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Allahyarham yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau sehingga 2007, meninggalkan isteri, Datin Hasnah Yahya, tiga anak dan sembilan cucu.

Berita Harian X