Sabtu, 23 April 2016 | 6:15pm

1.25 juta peminjam PTPTN tersenarai CCRIS

BUKIT MERTAJAM: Seramai 1.25 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tersenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata PTPTN terpaksa mengambil langkah itu untuk mendisiplinkan peminjam supaya membayar semula pinjaman secara konsisten.

Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan memastikan PTPTN dapat memungut semula wang bagi kegunaan peminjam baharu.

"Senarai CCRIS ini bukan untuk menyenarai hitam peminjam tetapi adalah sistem rujukan kredit bagi rekod bayaran semula hutang.

"Malah, rekod 1.25 juta peminjam ini sedia ada dalam senarai CCRIS sebelum PTPTN mengeluarkan senarai berkenaan dan ia dipercayai atas komitmen hutang lain membabitkan peminjam sama," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk peminjam yang sudah tamat pengajian sekurang-kurangnya enam bulan, sudah membayar secara ansuran bulanan dan mereka yang tidak membayar langsung.

Katanya, seramai 690,000 peminjam daripada jumlah itu belum membayar pinjaman.

"Setiap tahun, PTPTN memerlukan kira-kira RM5 bilion bagi menyediakan pinjaman kepada pelajar baharu," katanya.

Berita Harian X