Khamis, 21 April 2016 | 11:16am
KESAN patukan ular. - Gambar hiasan
KESAN patukan ular. - Gambar hiasan

Mangsa patukan ular beransur pulih

REMBAU: Murid perempuan Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong di sini, yang dipatuk ular ketika menjalani latihan Pendidikan Jasmani di sekolah, semalam, kembali aktif seperti biasa.

Keadaan terkini mangsa itu dimaklumkan oleh Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil, pada sidang media di sekolah berkenaan, pagi ini.

Katanya, murid berkenaan yang masih ditempatkan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, kini berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di wad biasa.

"Kira-kira jam 7 pagi tadi, ibu mangsa memaklumkan anaknya sudah aktif seperti biasa, tetapi masih perlu dipantau di hospital" katanya.

Rusni berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan HTJ mengesahkan murid berkenaan dipatuk ular.

"Pemeriksaan mendapati ada kesan patukan di bahagian bawah lutut kanan.

"Kami sedang menunggu ujian darah bagi mengenal pasti sama ada ular itu berbisa atau sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, murid berkenaan bersama rakan sekelas berada di padang yang terletak di hadapan blok sekolah, untuk sesi regangan.

Tiba-tiba mangsa terserempak dengan seekor ular, lalu terjatuh dan dipatuk.

Berikutan itu, guru kelas bergegas membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Rembau, tetapi pemeriksaan tidak menemui kesan dipatuk. Mangsa kemudian dihantar ke HTJ untuk pemeriksaan lanjut.

Berita Harian X