Jumaat, 15 April 2016 | 5:10pm

PNM, DBP sambung rancangan Klinik Jawi

KETUA Pengarah PNM, Nafisah Ahmad dan Pengarah IKIM, Dr Nik Roskiman Abdul Samad melihat manuskrip jawi lama yang dipamerkan di Perpustakaan Negara Malaysia. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah PNM, Nafisah Ahmad dan Pengarah IKIM, Dr Nik Roskiman Abdul Samad melihat manuskrip jawi lama yang dipamerkan di Perpustakaan Negara Malaysia. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) meneruskan penerbitan Klinik Jawi bagi memperkasa penggunaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat.

Rancangan 90 episod itu boleh diikuti menerusi saluran radio IKIM.fm bermula 2 April lalu hingga 30 Disember tahun depan.

Ketua Pengarah PNM, Nafisah Ahmad, berkata program terbabit bertujuan membudayakan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

"Rancangan berkenaan menjadi perantara dalam menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan mempelajari dan mempertahankan tulisan jawi sebagai khazanah ilmu.

"Tulisan jawi berupaya membuktikan warisan tamadun bangsa, justeru kami berharap ia diterima sebagai tulisan warisan dunia dan diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Rosli Abdul Ghani, dan Pengarah IKIM, Dr Nik Roskiman Abdul Samad.

Sementara itu, Pegawai Perancang Bahasa DBP, Azman Ahmad, berkata siri terbaru itu berbeza dengan penerbitan sebelumnya, susulan beberapa penambahbaikan.

"Tempoh siaran episod kali ini dipanjangkan dari 15 minit menjadi setengah jam dengan pengisian program lebih menarik seperti segmen kuiz. 

"Setiap episod mengandungi dua segmen. Segmen pertama adalah menjawikan perkataan secara langsung bersama pendengar, manakala segmen kedua adalah perkongsian ilmu bersama tokoh penulisan jawi," katanya.

Pendengar boleh melayari pautan Nota Klinik Jawi menerusi laman web PNM di www.pnm.gov.my.

Rancangan terbabit disiarkan pada jam 9.30 pagi setiap Sabtu dengan bimbingan Azman dan dikendalikan penyampai radio IKIM.fm, DJ Faiz Othman.

Berita Harian X