Khamis, 14 April 2016 | 10:59am

LHDN kunjungi syarikat gagal serah dokumen cukai

ORANG ramai membuat tafsiran di kaunter LHDN. - Foto fail NSTP/Mokhsin Abidin
ORANG ramai membuat tafsiran di kaunter LHDN. - Foto fail NSTP/Mokhsin Abidin

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memperluaskan program 'Kunjungan Mesra Hasil Berfokus' ke seluruh negara bagi mengenal pasti punca syarikat korporat gagal mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) masing-masing, sejak 2012.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk Sabin Samitah, berkata sebagai permulaan LHDN akan mengunjungi kira-kira 108 syarikat korporat terpilih di Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur dan Selangor yang didapati gagal menyerahkan dokumen BNCP, bagi tahun 2012, 2013 dan 2014.

Beliau berkata, langkah itu perlu berikutan setiap tahun hampir 30 peratus daripada syarikat dan pembayar cukai individu di seluruh negara dikesan gagal menyerahkan BNCP masing-masing setiap tahun.

"Kunjungan ini perlu bagi membolehkan LHDN mengenal pasti punca sebenar syarikat korporat terbabit gagal menghantar borang BNCP berkenaan sama ada kerana sudah tidak beroperasi atau sengaja berbuat demikian untuk mengelak membayar cukai pendapatan.

"Kita berharap langkah ini dapat memberi kesedaran kepada syarikat korporat supaya menghantar borang BNCP tepat pada masanya seperti ditetapkan oleh LHDN setiap tahun," katanya ketika sidang media selepas merasmikan program berkenaan di sini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar, dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyasarkan kutipan lebih RM1 bilion daripada mereka yang mengelak membayar cukai tetapi membuat pengakuan secara sukarela untuk tempoh Februari hingga Disember depan.

Berikutan itu, LHDN akan melaksanakan pelbagai usaha termasuk siasatan secara menyeluruh berbanding tahun lalu yang hanya dibuat dalam skala kecil dan lebih berkomunikasi ketika siasatan terhadap pembayar cukai dilakukan.

Mengulas lanjut, Sabin berkata, LHDN juga tidak akan teragak-agak mengenakan penalti hingga tiga kali ganda nilai cukai kepada syarikat dan individu yang sengaja mengelak untuk membayar cukai pendapatan masing-masing setiap tahun.

Bagaimanapun, Sabin berkata, LHDN menawarkan pengurangan penalti pada kadar tertentu bagi pengakuan secara sukarela pembayar cukai bermula 1 Mac hingga 15 Disember tahun ini.

Katanya, pengurangan itu meliputi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan BNCP atau Borang Nyata Petroleum (BNP) tahun ke belakang dan pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP atau BNP tetapi tidak melaporkan maklumat cukai pendapatan dengan betul.

Dalam perkembangan lain, Sabin berkata, LHDN berharap harga minyak dunia tidak akan jatuh ke paras bawah AS$40 setong bagi memastikan sasaran pungutan cukai RM124 bilion dapat diperoleh menjelang akhir tahun ini.

"Jika harga minyak dunia terus menjunam di bawah AS$40 setong, LHDN menjangkakan jumlah kutipan cukai pendapatan terutama daripada sektor petroleum akan berkurangan pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X