Selasa, 12 April 2016 | 12:09pm

Pendekatan komprehensif tangani kegiatan militan - Sultan Nazrin

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah (kiri) ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah untuk merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Negeri yang Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Supian Ahmad
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah (kiri) ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah untuk merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Negeri yang Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, adalah penting untuk melaksanakan pendekatan lebih komprehensif dalam menangani dan membendung masalah yang timbul daripada fahaman untuk menegakkan ideologi negara Islam secara militan.

Baginda bertitah, isu itu begitu kompleks kerana membabitkan ideologi, fahaman dan tafsiran berbeza.

"Faktor yang menjadi daya penarik atau penolak hingga berjaya mempengaruhi minda rakyat untuk menyertai pertubuhan sedemikian wajib dikenal pasti, difahami dan dianalisis.

"Faktor seperti harapan dan ilusi, kekecewaan dan impian, kemiskinan dan penderitaan, kezaliman dan penindasan, dilaporkan, antara faktor yang menjadi sebab anak muda terdorong menyertai gerakan sedemikian," titah baginda ketika merasmikan pembukaan rasmi penggal keempat Dewan Undangan Negeri Perak ke-13 di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, melakukan keganasan, kemusnahan terhadap harta benda dan sumber kehidupan dan bertindak secara militan, membunuh, menyerang, menculik, merogol, mengebom hingga menyebabkan insan tidak berdosa terkorban, adalah sama sekali bercanggah dengan ajaran Islam.

Baginda bertitah, Islam sebenarnya menyeru dan menganjurkan perdamaian.

Bagaimanapun, titah baginda, ideologi untuk menegakkan negara Islam secara militan, semakin mempengaruhi ummah dan semakin merebak ke serata dunia serta turut mempengaruhi pemikiran rakyat di negara ini.

"Beberapa rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh di negara tertentu. Beberapa tangkapan dan tahanan dilakukan. "Menangkap dan menahan mereka yang terbabit menyokong dan menyertai kegiatan militan seperti IS hanyalah satu langkah dan tindakan, tetapi langkah itu belum menjamin masalah telah atau akan dapat diselesaikan," titah baginda.

Berita Harian X