Ahad, 10 April 2016 | 6:29pm

Kebakaran Kuil: Malaysia bekerjasama rapat dengan Kerala

KEBAKARAN di Kuil Paravur Puttingal Devi di Paravur, Kerala.
KEBAKARAN di Kuil Paravur Puttingal Devi di Paravur, Kerala.

KUALA LUMPUR: Malaysia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Kerala, India, untuk memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam kebakaran Kuil Paravur Puttingal Devi di Paravur, Kerala, yang setakat ini meragut lebih 100 nyawa.

Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Ahmad Fajarazam Abdul Jalil, berkata pihak berkuasa tempatan menghadapi kesulitan untuk mengenal pasti mangsa kerana jumlah mereka yang maut dan cedera terus meningkat.

"Kami sedang membuat pemantauan (keadaan) dan setakat ini tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa, tapi kami belum boleh membuat pengesahan. Jumlah mangsa terus meningkat," katanya ketika dihubungi Bernama, dari sini hari ini.

Menurut portal berita dalam talian The Hindu, sekurang-kurangnya 102 orang maut dan lebih 350 cedera dalam kebakaran yang berlaku di kuil itu, awal hari ini.

The Hindu juga melaporkan Perdana Menteri India Narendra Modi menaiki pesawat bersama-sama sepasukan doktor pakar kebakaran ke kuil itu.

Laporan berita menyebut kebakaran itu dipercayai berpunca daripada letupan susulan pertunjukan bunga api di kawasan kuil berkenaan.

Bandar pesisir pantai Paravur terletak kira-kira 60km dari ibu negeri Kerala, Thiruvananthapuram. Kerala terletak di selatan India.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam merakamkan takziah kerajaan Malaysia kepada Perdana Menteri dan rakyat India berhubung tragedi berkenaan.

Ahmad Fajarazam berkata Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, telah berhubung dengan Ketua Menteri Kerala Oomen Chandy tentang kejadian itu. - BERNAMA

Berita Harian X