Selasa, 5 April 2016 | 9:18pm

Najib lawat Shaaban di HKL

Datuk Seri Najib Razak melawat pemain golf negara, Shaaban Hussin di Hospital Kuala Lumpur. - Gambar Ihsan FB Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak melawat pemain golf negara, Shaaban Hussin di Hospital Kuala Lumpur. - Gambar Ihsan FB Najib Razak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meluangkan masa melawat pemain golf negara, Shaaban Hussin yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terbabit kemalangan pada Khamis lepas.

"Bantuan dan sokongan moral menerusi Malaysian Golfers' Association, Majlis Sukan Negara dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan akan diberikan kepada Shaaban dan keluarga beliau untuk melalui detik sukar ini, Insya-Allah," kata Najib menerusi catatan terbaharunya dalam laman facebook beliau hari ini.

Shaaban, 36, yang menaiki motosikal berkuasa tinggi terbabas semasa cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti di tepi Lebuhraya Guthrie pada 31 Mac lepas.

Kemalangan itu menyebabkan juara Kejohanan PGM Sime Darby Harvard 2016 itu cedera di tangan dan kaki kirinya.

Ketika kejadian, Shaaban dalam perjalanan dari rumahnya di Kota Damansara ke Glenmarie Golf & Country Club di Shah Alam bagi menjalani latihan untuk menyertai Kejohanan Darul Aman PGM di Kedah, minggu ini.

Pencapaian terbaik Shaaban pada musim ini ialah menduduki tempat kelima Kejohanan PGM CCM Rahman Putra di Kelab Rahman Putra, Sungai Buloh. - BERNAMA

Berita Harian X