Selasa, 29 March 2016 | 5:52pm

Misi Aman Palestin ke Syria berjaya

Peserta Misi Kemanusiaan Aman Palestin ke Syria ke-14, selamat kembali ke tanah air petang tadi, selepas 10 hari mengagihkan bantuan kepada pelarian. - Foto NSTP
Peserta Misi Kemanusiaan Aman Palestin ke Syria ke-14, selamat kembali ke tanah air petang tadi, selepas 10 hari mengagihkan bantuan kepada pelarian. - Foto NSTP

SEPANG: Peserta misi kemanusiaan ke-14 Aman Palestin ke Syria selamat pulang ke tanah air kira-kira jam 2 petang tadi, selepas 10 hari berada di Damsyik, Syria.

Misi kemanusiaan membabitkan 10 orang peserta itu berjaya menyampaikan bantuan makanan kepada pelarian Palestin dan Syria di Damsyik, selain meninjau keadaan kesihatan pelarian.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, berkata pihaknya berpuas hati dengan misi kali ini dan akan menyalurkan bantuan diperlukan pelarian di Syria secara berterusan.

Katanya, antara masalah ketara di negara bergolak itu adalah kekurangan bekalan makanan dan penjagaan kesihatan.

"Satu lagi pencapaian Aman Palestin ialah menjadi pertubuhan kemanusiaan pertama memasuki kawasan Bab Billa, iaitu pintu masuk ke Yarmouk yang dikuasai pihak bersenjata.

"Ini menunjukkan keikhlasan Aman Palestin dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan diterima pihak di Syria," katanya.

Sementara itu peserta misi yang juga pakar bedah dan ortopedik, Dr Zairul Nizam Zainol Fitri, 46, berkata permasalahan kesihatan di Syria banyak berkisar kepada konflik peperangan.

Katanya, masalah kesihatan membabitkan kecederaan akibat tembakan dan letupan sudah menjadi lumrah.

"Pelarian di sana kurang pengetahuan mengenai cara menjaga kesihatan dan kecederaan serta ramai yang tidak mendapat rawatan kesihatan dengan betul.

"Kemungkinan besar ini berlaku akibat kekurangan alatan perubatan atau tenaga pakar.

"Kita dimaklumkan hospital menerima kes rawatan kecemasan yang tinggi setiap hari tetapi tidak mempunyai peralatan lengkap," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Berita Harian X