Isnin, 28 March 2016 | 2:38pm

Pemuda UMNO kutuk insiden pengeboman di Lahore

ANGGOTA keselamatan rasmi Pakistan mencari bukti di lokasi pengeboman di Lahore. - Foto AFP
ANGGOTA keselamatan rasmi Pakistan mencari bukti di lokasi pengeboman di Lahore. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Biro Antarabangsa Pemuda UMNO Malaysia mengutuk insiden pengeboman di bandar raya Lahore, Pakistan yang mengorbankan lebih 65 orang pada sambutan Hari Easter, semalam.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan, berkata tindakan yang menyasarkan penganut agama Kristian itu adalah salah dan amat tidak bertanggungjawab.

"Kami memandang serius dan bimbang dengan perkembangan semasa terhadap tindakan keganasan di beberapa negara kebelakangan ini.

"Kami secara konsisten mengecam segala bentuk tindakan dan perbuatan terrorisme dan ekstremisme yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 65 maut manakala 300 lagi cedera apabila pengebom nekad meletupkan diri di sebuah taman riadah yang dipenuhi orang ramai di ibu negara Lahore.

Ia berlaku ketika penduduk Kristian meraikan sambutan Hari Easter, yang menyaksikan orang ramai beriadah ketika hujung minggu.

Berita Harian X