Sabtu, 26 March 2016 | 1:03am

Johan pidato bawa pulang wang tunai RM20,000

NAJIB bergambar bersama pemenang bagi kategori masing-masing di Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2016, di Putrajaya, malam tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
NAJIB bergambar bersama pemenang bagi kategori masing-masing di Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2016, di Putrajaya, malam tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Peserta dari Jepun, Hatsune Yanai dinobatkan sebagai johan kategori Antarabangsa pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2016 (PABM 2016) di sini, malam tadi.

Tempat kedua dimenangi Wang Jialu dari China manakala tempat ketiga milik Megan Rose Donelly dari Amerika Syarikat.

Bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, tempat pertama dimenangi Abdalla Hassan Gharib (Tanzania) mewakili Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tempat kedua pula milik Nasear Slayman (Kemboja) mewakili Universiti Islam Antarabangsa manakala tempat ketiga dimenangi Anas Mohamad Husian Kassim mewakili Universiti Malaysia Pahang.

Peserta negara, Muhammad Haziq Jamaluddin pula dinobatkan johan kategori Alam Melayu, tempat kedua dimenangi wakil negara, Irfan Mohamad Fairus manakala tempat ketiga, Muhammad Samae dari Thailand.

Hadiah bagi pemenang setiap kategori disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pertandingan akhir PABM 2016 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, Piala Perdana Menteri, hadiah iringan dan sijil.

Bagi naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM12,000 dan RM8,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.

Berita Harian X